Antara Pelajaran Dan Perniagaan


Antara Pelajaran Dan Perniagaan

oleh Zamri Nanyan

Terdetik di hati saya untuk menulis serba sedikit tentang pendapat saya apabila terbaca satu perbincangan di laman sosial di mana seorang anak muda ini ingin membina bisnes sendiri tetapi pada masa yang sama, beliau mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran beliau ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau telah mengajukan soalan ini kepada ibu-bapa beliau. Si emak menasihati beliau untuk meneruskan pelajaran dan si bapa pula membenarkan beliau membuat keputusan sendiri walaupun kata-kata beliau juga lebih menjurus kepada terus belajar.

Ini pula respon saya kepada dilema ini.

“Ayat Pertama (yang diturunkan kepada seluruh umat manusia)… BACALAH…

Pada pendapat saya, jangan abaikan pelajaran kerana ada banyak kelebihannya walaupun kita masuk universiti dan tak menggunakan ilmu formal yang diajar. Kalau saya diberi pilihan untuk memulakan semula hidup saya, saya masih akan belajar sehingga ke peringkat ijazah atau peringkat yang saya boleh lakukan. Terlalu banyak pengalaman manis semasa pembelajaran di peringkat ini yang tak dapat saya lupakan dan akan saya ingat sehingga selamanya.

Tentang bisnes, ada banyak peluang untuk membina bisnes secara part time walaupun anda masih belajar ataupun bekerja.

Pendapat saya ialah RM3,000 (jumlah yang bakal beliau perolehi di dalam perniagaan yang bakal diceburi beliau) adalah jumlah yang besar bagi anda yang mungkin belum merasainya tetapi ianya terlalu kecil jika angan-angan anda ialah untuk membina empayar bisnes. Memang betul yang kita kena bermula dari bawah. Tapi, bermula dari bawah secara part time pun boleh dapat RM3,000 setiap bulan, insyaAllah.

Saya juga seorang ayah kepada 3 orang anak dan melakukan bisnes internet secara full time. Jadi, saya tahu perasaan ibubapa bila anak yang dididik akan mengambil keputusan sendiri nanti. Nasihat yang saya berikan kepada anak-anak saya juga sama – belajar dahulu dan selepas mendapat ijazah atau peringkat tertinggi, pergilah bekerja atau buat bisnes sendiri. Pilihan di tangan mereka tetapi saya akan tekankan supaya mereka belajar sehingga ke tahap yang tertinggi kerana telah terbukti di depan mata saya sendiri bahawa “kebanyakan” mereka yang mempunyai pendidikan tinggi mempunyai kewibawaan, keyakinan diri, pengetahuan tersendiri yang boleh membantu di dalam bisnes mahupun pekerjaan.”

Sebagai tambahan kepada hujah saya, memanglah 9/10 daripada rezeki datangnya daripada perniagaan tetapi perlu diingati juga bahawa mungkin 90% yang menceburi perniagaan tidak akan kekal sehingga 5 tahun. Dan lagi, bukan semua bisnes adalah lebih baik daripada pekerjaan. Malah, saya amat sarankan untuk mereka yang tidak minat berniaga untuk bekerja kerana ada sesetengah pekerjaan adalah sangat mulia di mana bisnes sendiri tidak dapat menandinginya. Contohnya, pekerjaan sebagai doktor, pendidik dan sebagainya adalah amat penting di dalam kehidupan seharian sehingga ianya dapat menyelamatkan nyawa dan membina insan yang lebih baik.

Saya juga masih teringat kata-kata peransang daripada emak dan ayah saya semasa saya kecil, “kita ni orang susah, kalau nak senang belajarlah sehingga ke universiti, dapat kerja baik dan boleh bantu adik-adik”. Pada masa tersebut, ianya merupakan kata-kata azimat buat saya sehingga saya berjaya mendapat segulung ijazah dari luar negara (siapa sangka anak Felda seperti saya yang tak mampu mengeluarkan ratusan ribu ringgit masih lagi mempunyai jalan untuk belajar ke tahap yang tinggi).

Terasa puas apabila merasakan emak dan ayah saya pun bangga dengan kejayaan saya. Kepuasan itulah juga yang ingin saya berikan selepas emak dan ayah saya melaburkan wang ringgit yang tidak terkira banyaknya untuk memberikan saya pelajaran dari sekolah rendah ke sekolah menengah sehinggalah ke universiti. Walaupun pengorbanan mereka tidak dapat saya balas keseluruhannya tapi saya puas. Anak yang mereka harap untuk berjaya di dalam pelajaran telah membuktikan kepada mereka bahawa asuhan mereka berjaya. Berjayanya saya melambangkan kejayaan mereka.

Saya tidak faham kesemua ini sehinggalah saya sendiri mempunyai beberapa orang anak.

Jika berkemampuan, memang hasrat ibu-bapa ialah untuk melihat anak mereka berjaya di dalam hidup dan salah satu caranya ialah dengan memberikan pelajaran sehingga ke tahap yang tertinggi. Terpulang kepada anak itu sendiri selepas tamatnya pembelajaran kerana pada masa ini, mereka sudahpun boleh buat keputusan sendiri yang lebih rasional.

Kebaikan mempunyai bisnes sendiri pula ialah kebebasan di dalam melakukan apa yang anda sendiri ingini tetapi pada masa yang sama, ada banyak juga bisnes yang boleh dilakukan secara separuh masa ataupun semasa belajar. Ingat bahawa bisnes sendiri berikan kebebasan kepada anda. Jadi, ianya juga sesuai dilakukan semasa bekerja atau belajar asalkan ianya tidak memberikan impak negatif kepada apa yang anda lakukan sekarang.

Dengan membina bisnes secara separuh masa, paling tidak, anda boleh tahu dahulu samada anda benar-benar minat di dalam bisnes anda tersebut. Anda mempunyai pilihan untuk mencuba bisnes lain lagi jika bisnes permulaan anda tidak dapat menambat hati anda selepas seketika melakukannya. Ya, bisnes yang diceburi nampak amat menarik pada permulaannya tetapi ianya tidak selamanya manis jika hati anda mula beralih arah.

Berbalik kepada pertimbangan di antara bisnes dan belajar pula, mungkin situasinya berbeza sekiranya saya tidak mempunyai peluang untuk meneruskan pelajaran saya ke tahap universiti. Mungkin saya terus bekerja dengan orang lain ataupun membina bisnes saya selepas tamatnya sekolah menengah.

Tetapi saya tidak akan teragak-agak untuk meneruskan pelajaran saya sekiranya saya mempunyai peluang, minat dan juga keadaan membenarkan saya melakukannya.

Akhir sekali, suka saya ingatkan bahawa ini adalah pendapat peribadi saya berdasarkan pengalaman hidup dan situasi saya sekarang. Buatlah keputusan yang bijak hari ini kerana apa yang akan berlaku 5 atau 10 tahun daripada sekarang adalah berdasarkan tindakan anda sekarang. Bayangkan apa yang bakal anda perolehi (atau tidak perolehi) jika keputusan yang anda ambil adalah seperti yang anda fikirkan sekarang. Dan jangan lupa juga memohon petunjuk daripada-Nya.

Mengenai Penulis

Zamri Nanyan tidak sarankan anda terus terjun ke dalam bidang perniagaan internet tanpa perancangan teliti. Malah, beliau sarankan anda menceburinya secara separuh masa dahulu sebelum melakukannya sepenuh masa selepas hasilnya memberansangkan. Ikuti saranan beliau dengan lebih terperinci lagi melalui buku The Four Weeks To Freedom beliau di http://www.TheFourWeeksToFreedomBook.com dan jangan lupa untuk melawati laman web beliau di http://www.BisnesDigital.com untuk lebih banyak informasi tentang bisnes internet sebenar.

 

 

Artikel, Pemasaran Internet, Pembangunan Diri, percuma, Peribadi, Perniagaan Internet, usahawan

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

17 Responses to “Antara Pelajaran Dan Perniagaan”

Leave Comment

(required)

(required)