Seminar

Kelebihan Menghadiri Seminar Perniagaan Internet

Pada permulaan saya menceburi perniagaan internet, memang jarang sekali saya dapat melihat individu atau syarikat yang menganjurkan seminar perniagaan internet. Mungkin pada tahun 2002 tersebut, ramai yang masih dalam pembelajaran atau dalam proses memperkembangkan bisnes internet mereka. Namun, sekarang, pengendalian seminar dan workshop internet sudah semakin rancak nampaknya.

Di dalam akhbar atau internet, sudah ramai yang mengiklankan seminar atau workshop perniagaan internet ini. Ada yang menawarkan seminar yang membincangkan perkara asas seperti pembinaaan laman web dan ada yang menerangkan dengan lebih lengkap tentang salah satu model perniagaan internet yang boleh diceburi oleh orang ramai.

Peluang sebegini patut diambil oleh mereka yang ingin menceburi perniagaan internet atau memahirkan lagi bidang perniagaan ini. Walaubagaimanapun, setelah saya amati, ada segelintir daripada mereka yang meluahkan perasaan kurang senang dengan hasil yang diperolehi setelah menghadiri seminar sebegini.

“Saya pergi ke seminar _______ anjuran _____ tapi selepas setahun, masih tak dapat menjana pendapatan daripada internet.”

“Betul ke boleh buat duit selepas pergi seminar _______ ni?”

“Kalau dah bergelar jutawan, kenapa perlu beliau anjurkan seminar dan ajar orang buat duit di internet? Atau beliau jadi jutawan kerana anjurkan seminar?”

Tidak dinafikan bahawa memang akan terdapat mereka yang akan berfikiran negatif terhadap sesuatu yang baik. Ini adalah lumrah manusia tetapi biarlah saya katakan sekali lagi (mungkin ada yang pernah dengar):

“Tiada Jaminan Kejayaan di Dalam Perniagaan Internet Melainkan Anda Belajar Mengenai Perniagaan Tersebut, Mahirkan Diri dan Berusaha Secara Berterusan”

Seminar atau workshop perniagaan internet mampu menolong anda belajar dengan cepat dan berguru dengan mereka yang telah pun berjaya. Selebihnya akan bergantung kepada usaha anda sendiri.

Memang anda boleh belajar perniagaan internet ini dengan sendiri – melalui bacaan ebook, buku atau bertanyakan orang ramai di forum. Namun, masih terdapat pelbagai kelebihan menghadiri seminar atau workshop perniagaan internet ini berbanding dengan belajar sendiri.

Walaupun kos menghadiri sesuatu seminar perniagaan internet adalah sedikit mahal berbanding dengan membeli sebuah buku bisnes internet, namun keistimewaannya tidak dapat ditandingi (itupun kalau anda menggunakan peluang menghadiri seminar bisnes internet ini sepenuhnya).

Jadi, mari kita lihat kenapa anda masih perlu menghadiri seminar perniagaan internet tak kira di mana tahap anda berada di dalam bisnes internet ini.

1. Jalan pintas untuk belajar perniagaan internet

Di dalam seminar perniagaan internet, anda akan diajar bagaimana bisnes ini dijalankan bukan sahaja secara teori bahkan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan usahawan internet itu sendiri. Sekiranya anda tidak memahami sesuatu, anda boleh bertanya kepada penceramah dan soalan anda bakal dijawab pada masa yang sama. Dari sini juga anda dapat belajar perkara yang patut anda elakkan dan praktikkan tanpa membuat tekaan atau andaian salah mengenai topik yang dibincangkan.

2. Cungkil rahsia dalaman usahawan internet

Sesetengah usahawan internet memang tidak akan membongkar sesetengah rahsia mereka di dalam blog ataupun email yang mereka hantar. Jika rahsia perniagaan internet mereka ini diulas di dalam laman web mereka sekali pun, ianya tidaklah terperinci seperti yang bakal mereka berikan semasa seminar. Jika anda kurang percaya, cuba anda dengar rakaman temubual seseorang usahawan internet yang hebat. Pasti anda akan dapati sesuatu yang anda tidak pernah ketahui sebelum ini. Yang menariknya apabila anda menghadiri sesebuah seminar perniagaan internet, anda sendiri boleh mencungkil rahsia mereka secara peribadi.

3. Berjumpa dengan rakan usahawan internet lain

Bukan sekadar menimba ilmu sahaja, anda juga bakal berjumpa usahawan internet yang lain yang mungkin juga mempunyai minat dan tahap pengalaman bisnes yang sama dengan anda. Dari sini anda dapat meningkatkan lagi kepercayaan anda mengenai perniagaan internet yang hebat ini. Walaupun perniagaan internet boleh dilakukan secara individu atau perseorangan, pada satu ketika, anda pasti akan bersetuju dengan saya bahawa sekiranya anda mempunyai ramai rakan usahawan internet yang lain, perniagaan internet anda akan berkembang dengan lebih cepat.

4. Mencipta perkongsian bisnes atau “joint venture”

Tidak seperti perniagaan konvensional, perniagaan internet adalah hebat kerana saingan anda juga boleh menjadi rakan niaga anda yang kuat. Sebagai contoh, sekiranya saingan saya mempunyai produk yang seakan-akan produk yang saya jual, saya akan menjadi rakan niaga beliau dan menjual produk beliau kepada pelanggan saya untuk komisyen jualan. Begitu juga yang dapat dilakukan oleh beliau. Dengan menggunakan sedikit kreativiti, saya dan saingan saya akan sentiasa mendapat untung dari promosi yang sama-sama kami jalankan. Di seminar perniagaan internet, anda bakal menjumpai rakan “joint venture” anda. Setidak-tidaknya anda bakal menjumpai mereka yang mungkin ingin memulakan perniagaan internet berdasarkan model bisnes yang sama yang ada di fikiran anda. Ini akan memudahkan lagi anda memulakan perniagaan internet anda (fikir lakukan bisnes secara berkumpulan). Dan lagi, siapa tahu? Mungkin anda juga boleh mencadangkan “joint venture” kepada penceramah seminar tersebut.

5. Mempunyai mentor anda sendiri

“Sekiranya anda (pelajar) sudah bersedia, guru anda akan menjelmakan diri” – bukan saya yang cipta ayat ini tapi diambil daripada peribahasa Cina. Maksudnya, anda sendiri yang akan mencari guru anda untuk dijadikan panduan perniagaan internet anda, dan anda perlu bersedia untuk menerima ilmu yang akan diturunkan kepada anda. Guru anda ini akan menjadi mentor kepada perniagaan internet anda dan beliau akan membantu anda mencapai kejayaan. Syarat yang anda perlu ada ialah persediaan anda untuk menerima ilmu yang bakal diberikan disamping usaha anda sendiri. Jadi, sebelum anda menimba ilmu daripada sebarang seminar atau workshop, anda perlu juga melakukan kerja rumah (homework) anda sendiri. Buat pembacaan sendiri terlebih dahulu tentang topik yang hendak dibincangkan, senaraikan soalan yang bakal anda tanya dan usahakan supaya penceramah pada hari itu mengenali anda dengan lebih rapat. Kemudian jadikan beliau mentor atau rujukan anda pada masa akan datang sekiranya anda mempunyai masalah berhubung dengan bisnes internet anda.

Jadi, sekarang anda sudah dapat 5 kelebihan mengapa anda perlu menghadiri (paling kurang sekali seumur hidup) sesebuah seminar perniagaan internet. Semestinya nilai menghadiri sesebuah seminar bisnes internet adalah melebihi 5 perkara di atas, namun cuma mereka yang nampak sahaja akan menganalisa segala kebaikannya.

Saya sendiri memulakan perniagaan internet selepas menghadiri sebuah seminar 3 hari 2 malam di Genting Highlands pada 20-22 Disember 2002. Tetapi saya juga telah melakukan penyelidikan dan pembelajaran secara sendiri selama beberapa ketika. Tak hairanlah kenapa saya akan sentiasa menyarankan anda menghadiri sebarang seminar bisnes internet yang dianjurkan. Hasilnya sangat berbaloi. Walaubagaimanapun, pilih seminar yang sesuai untuk anda dan pastikan penceramah adalah usahawan internet yang sebenar. Jika disediakan bantuan selepas seminar atau workshop, ambil peluang ini untuk terus belajar dan memperkembangkan bisnes anda.

Akhir sekali, jangan jadikan seminar sebagai satu-satunya cara untuk anda berjaya di dalam bisnes internet ini. Jadikan seminar atau workshop perniagaan internet sebagai alatan (tool) untuk anda menapak maju ke hadapan. Saya pasti anda akan berjaya suatu hari nanti.